Monday, December 24, 2007

'Survival' PAS sukar zaman Abdullah berbanding Mahathir (I)

MF Othman

Ini adalah suatu pandangan, idea, kritikan dan suatu percambahan pemikiran 'dari satu sisi' yang lain tentang PAS secara khusus. Secara jujur, akan ada pihak yang tidak bersetuju, tidak berminat malah lebih daripada itu menganggap apa yang dibaca nanti hanyalah 'sampah-sarap' yang perlu dibuang jauh-jauh kerana menganggap ia tidak benar dan tanpa fakta yang kukuh.

Namun, apalah salahnya kalau selama ini, entah mengapa kita hanya mendengar perkara ‘'ang muluk-muluk' sahaja tentang PAS tanpa menyedari (ataupun mungkin terlupa dan leka sejenak) apakah sebenarnya yang berlaku di dalam kerangka pertubuhannya sendiri sehingga kelihatannya apabila sesuatu parti itu menggunakan nama Islam, maka apa yang dilakukan ‘automatik’ akan menjadi betul, perlu disokong secara mutlak dan tidaklah perlu ditegur secara serius kerana sudah mempunyai dasar-dasar yang berlandaskan al-Quran dan As-sunnah.

Walaupun PAS sudah lebih dua dekad menjadi pembangkang utama kepada Umno secara khusus dan BN amnya, ia wajarlah menyedari bahawa kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak merasa yakin untuk memberikan peluang kepada PAS (dan pembangkang lain secara amnya) untuk menguruskan negara ini mengikut acuannya yang tersendiri - walaupun ketika pilihan raya PAS mampu membentang manifesto yang kadang-kadangnya ‘kelihatan’ 1000 kali lebih baik daripada manifesto yang dikeluarkan oleh Umno dan BN. Mengapa?

Apakah sebabnya? Dan apakah jalan penyelesaiannya? Ikutilah sebahagian daripada analisis yang sempat direkodkan.

Pertama, imej boleh memerintah. PAS kena menerima hakikat bahawa imej ini langsung tidak ada padanya. Tengok sahaja 'Kabinet bayangan' yang ditubuhkan beberapa tahun yang lalu. Seingat saya, ketika itu hampir seluruh pimpinan PAS mendapat 'demam Kabinet bayangan'. Sekarang apa sudah jadi? Sistem Kabinet bayangan ini adalah amat penting bagi menempatkan seseorang yang betul-betul pakar terhadap sesuatu bidang di dalam sesuatu kementerian yang diwakili malah kalau boleh dilihat 'boleh' menandingi menteri yang ada sekarang (kecualilah PAS ketandusan pemimpin bertaraf pakar untuk diketengahkan).

Maksudnya apabila timbul sesuatu isu yang berkaitan dengan perumahan contohnya maka 'menteri' inilah yang sewajarnya 'bercakap' dan bertindak dengan efektif tanpa dikacau oleh orang lain yang 'tidak tahu menahu tentang perkara terbabit'. Sebarang tindakan pula, sewajarlah di 'follow up' sambil dibantu oleh 'timbalan menteri' atau sekurang-kurangnya 'KSU kementerian' serta ahli jawatankuasa yang lain, sehingga isu yang diperjuangkan itu mendapat perhatian pihak berwajib.

Namun apa yang berlaku sekarang cukuplah malang kerana apabila sahaja meletup sesuatu isu, semua orang ingin bercakap dan menjadi hero. Tidak kiralah sama ada daripada pemimpin peringkat bawahan hinggalah kepada peringkat atasan. Hasilnya bukan sahaja nampak tidak profesional, tidak sistematik, tidak ada 'follow-up' secara spesifik dan akhirnya isu itu dibiarkan begitu sahaja kerana tidak ada seorang pun yang dianggap 'pakar' untuk bertanggungjawab dan 'penyelesai masalah' terhadap isu terbabit.

Tidak minat politik

Kedua, kita kena menerima hakikat bahawa, bukan semua orang Malaysia terutamanya orang Melayu yang berminat dengan politik. Mereka tidak berminat tentang jutaan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno asalkan golongan ini tidak menyusahkan mereka. Apa mereka peduli dengan penyelewengan tersebut asalkan mereka dapat mencari rezeki dengan baik dan selesa? Bukankah latar belakang orang Melayu sendiri yang tidak suka untuk memberontak ataupun berkonfrantasi untuk mendapatkan sesuatu?

Kadang-kadang, mereka memang tahu pun Umno dilanda masalah rasuah, politik wang, adu-domba, kronisme dan sebagainya. Namun adalah 'lebih baik' memilih Umno kerana walaupun Umno teruk sekalipun, sekurang-kurangnya mereka ada duit untuk membuat pembangunan dan sebagainya. Inilah realiti sekarang.

Ketiga, mulai dari hari ini, PAS wajar hidup dengan menganggap bahawa hampir semua rakyat Malaysia sudah menolaknya dan berfikir bagaimana nak 'survive' di dalam yang sedemikian rupa. Kita juga tidak wajar berasa malu untuk mengakui kesilapan diri dan kepimpinan. Kalau semasa Umno ditolak dahulu, pada tempoh tahun 1998-2000, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa segan silu memberikan ucapan yang lebih kurang berbunyi begini; "Kita kena terima hakikat bahawa kita perlu hidup di dalam keadaan yang rakyat tidak lagi menyokong kita..."

Namun kebanyakan pimpinan PAS masih tidak dapat menerima hakikat kekalahan di dalam pilihan raya yang lepas. Apabila kita tidak mengakui kesilapan kita, sebenarnya kita tidak pernah mengangggap 'kesilapan' itu sebagai suatu kesilapan. Maka, tidak mustahil kesilapan yang sama akan berulang. Mengakui kesilapan adalah amat perlu supaya kita boleh berubah untuk mencari kaedah yang lebih baik dan berkesan.

Oleh itu pimpinan PAS jangan merasa terlalu 'syok sendiri' dengan sentiasa merasa kita masih mendapat sokongan ramai kerana ini hanyalah akan merugikan diri dan parti. Tidak salah sekiranya kita berundur setapak untuk melompat lebih jauh.

Kadang-kadang, antara kesilapan sikap pimpinan dan ahli-ahli PAS sendiri yang kelihatan terlalu memperlekeh orang lain yang 'lebih besar' kuasanya. Kita perlu menerima hakikat bahawa PAS adalah parti kecil dan masih tidak bersifat nasional (sebagaimana yang ditekankan oleh Pemuda di dalam muktamar baru-baru in), justeru apabila ada sebilangan pimpinan dan ahli PAS yang mempersenda kewujudan sayap baru Umno iaitu Puteri suatu ketika dahulu dan ternyata pula sayap itu cukup berjaya memainkan peranannya dengan cukup berkesan, maka kita sendiri yang melopong dan cuba pula untuk menggunakan kaedah yang sama! Ini adalah suatu kesilapan yang sama sekali tidak patut diulangi.

Keempat, PAS wajarlah melihat reliti dan keutamaan. Memang difahami bahawa tujuan utama PAS adalah mewujudkan sebuah negara Islam yang hukum-hakamnya adalah menurut undang-undang Allah. Kalau ditanya kepada seluruh ahli dan pimpinan PAS, memanglah jawapannya akan menjadi stereotaip begitu, tetapi sekiranya kita bertanya kepada orang lain yang bukan ahli PAS pula bagaimana?

Adakah mereka memahami apakah itu sebuah negara Islam? Dan mahukah mereka sebuah negara Islam sebagaimana yang difahami oleh PAS - dalam keadaan mereka cukup selesa dengan 'bentuk' negara yang mereka ada pada hari ini? Cuma, apa yang mereka tidak puas hati hanyalah pimpinan negara yang kelihatannya tidak prihatin atau tidak mengambil berat hak-hak mereka dan bukannya 'bentuk negara' itu sendiri.

Baiklah. Untuk memudahkan perbincangan kita, kita boleh membuat sifir yang mudah. Daripada lebih kurang 23 juta rakyat Malaysia, berapa orangkah yang agamanya adalah Islam? Katalah 15 juta. Daripada jumlah ini, berapa kerat yang tahu tentang Islam? Katalah 14 juta. Daripada jumlah ini pula, berapa kerat pula yang tahu mengucap kalimah syahdah? Katalah 13 juta.

Berapa pula jumlah yang tak solat? Setelah ditolak daripada jumlah ini, berapa pula yang minat politik - yang kebetulannya pula adalah politik Islam?. Katalah 12 juta. Tolak dengan ahli PAS menjadi 10 juta. Tolak dengan orang Islam yang ahli Umno, menjadi 5 juta. Adakah 5 juta ini secara keseluruhannya akan mengundi? Belum tentu lagi mereka akan mengundi. Dan yang mengundi belum tentu lagi siapakah yang akan diundi. Daripada jumlah 5 juta tersebut juga, mungkin 3 juta daripadanya langsung tidak memahami apakah itu negara Islam, pengisiannya, bagaimanakah ianya berfungsi, apakah objektif dan matlamat penubuhannya.

Ini sebagai contoh secara kasar sahaja, namun ia adalah logik untuk difikirkan. Oleh itu saya berpendapat PAS tidaklah wajar terlalu menumpukan sangat kepada isu negara Islam semata-mata di dalam keadaan pihak musuh (yang terdiri daripada orang Islam sendiri dan ejen luar) yang sentiasa sahaja memutar belit fakta dan menyebabkan bukan setakat orang bukan Islam malah orang Islam sendiri semakin tak faham dan keliru.

Bersambung

4 comments:

Anonymous said...

ada benar juga tapi ini adalah pandangan anda sendiri,
tetapi gelombang kebangkitan rakyat semakin jelas, sama ada dgn terang2an atau pun tidak..

anak belia melayu seperti saya byk mangambil tahu tentang politik sekarang ini... tidak semua yang seperti anda suarakan..

banyak pakar2 dlm Pas tak perlu saya sebutkan satu2, tapi anda bersuara seperti orang yang pro UMNO.. jadi tak perlu saya ulaskan lebih lanjut..ramai juga menteri kabinet kita berckp bahasa inggeris spt siti nurhaliza..malah lebih teruk.. hehe..

dalam pakatan Barisan nasional juga ada perbalahan, seperti isu negara sekular, Isu perkauman.. so mcm mana..?

jadi boleh disimpulkan di sini..UMNO telah dan beroleh peluang utk membuktikan jasanya pada rakyat, tapi hanya org terdekat yang beroleh untung..

bukan dengki, dan iri hati cuma... saya sebagai rakyat ingin negara yang aman, untuk didiami oleh anak keturunan saya.. tanpa rasa takut pd polis, hakim yang rasuah, birokrasi berleluasa, islam hahdhari yang menyesatkan...

apapun semoga kita lebih matang terutama org UMNO dlm berpolitik, dan memerdekakan jiwa rakyat Malaysia.

///simpang tiga hulu langat

Anonymous said...

Apakah motif penulis, kenapa tidak dituliskan setahun atau 2 tahun dahulu? Bolehkah dianggap usaha membantu UMNO juga.

Anonymous said...

agreed..

Anonymous said...

Analisis (?) orang ini mungkin ada betulnya. Tetapi, jangan pula lupa akhir-akhir ini sambutan rakyat kepada cveramah-ceramah PAS semakin bertambah selepas peristiwa Batu Burok dan perhimpunan Bersih 10 November. 70 peratus dari yang menyertai himpunan itu ialah anak-anak muda. Boleh dianggap 80 peratus dari yang menyertai perhimpunan itu ialah orang-orang PAS. Masih ramai rakyat yang menyokong PAS.

Masalah terbesar PAS ialah masa hadapannya. Sudah ramai orang PAS yang merasa sangat ngeri membayangkan PAS akan dipimpin oleh Nasharudin Mat Isa jika berlaku sesuatu kepada presidennya sekarang.

Adakah muktamar PAS mampu memastikan kepimpinan yang baik untuk PAS selepas Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang? JANGAN HARAP! LUPAKAN SAJA!

Mungkin kita akan melihat episod kehancuran PAS akibat KETOLOLAN muktamar PAS memilih pemimpin. Sudah terdengar cakap-cakap orang PAS yang akan mufaraqah jika Nasharudin menjadi presiden.

Lebih malang, politik wang juga sudah mula bertapak di dalam muktamar PAS yang dilakukan oleh orang-orang seperti Abe Jak (pakar selak kain dan tunjuk kemaluan)