Sunday, May 4, 2008

Mengapa Faisal Tehrani Berubah

Mengapa Faisal Tehrani seorang sasterawan muda yang suatu ketika dahulu dibakar tak rentung, direbus tak empuk bila mempertahankan Pas hari ini berubah nada? Saya kenal Faisal sejak di Universiti Malaya. Faisal sungguhpun idealis bukanlah tidak boleh bertolak ansur dalam erti politik Pas. Sejak universiti Faisla walaupun bukan pemimpin kumpulan pro Pas tetapi merupakan aktivis parti yang cukup disegani. Sungguhpun selalu berdiri di platform Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Malaysia dan pelbagai lagi, tapi jiwa faisal adalah jiwa Pas.

Saya telah membangkitkan soal apa yang penting dalam perjuangan kita - kuasa atau perjuangan sejak tiga tahun lalu. Tapi dianggap pengkhianat parti. Sejak menang di beberapa buah negeri dalam PRU lalu, saya biarkan sahaja para pemimpin kita bersuka ria meraikan kemenangan. Buat sementara saya akan berhenti mengkritik kerana saya nanti dianggap jahat. Cuma bacalah keluahan Faisal ini yang merupakan cerminan ahli bawah yang sekian banyak dan ramai. Kata mereka dulu kalah bermaruah kerana prinsip dipertahan. Hari ini menang tidak bermaruah kerana semua sudah boleh dijual beli.

Di petik dari http://tehranifaisal.blogspot.com/

Bahasa Politik: PAS Sudah Kalah

Saya hanya seorang pengarang. Ini pandangan saya. Seorang pengarang.

Mula-mula terima babi, akhirnya PAS akan memperakukan Lina Joy. Saya akan beritahu anda bagaimana ini bakal berlaku. Sila bersabar.

Ini pandangan saya. Seorang pengarang kecil. Bahasa politik melibatkan apa yang dinamai orang Jerman sebagai machtvorming iaitu menghimpun kekuasaan, dan machtaanwending iaitu menggunakan kekuasaan. Nah, suka? Saya juga boleh menggunakan jargon-jargon hebat dalam bahasa Jerman seperti Anwar Ibrahim, memandangkan seluruh dunia termasuk Jerusalem Post memuji beliau, maka saya wajar menjadikan beliau contoh. Sekadar contoh. Saya boleh membawa contoh pengguna jargon politik seperti pencipta kata 'glokal', tetapi macam tak relevan. Saya juga boleh menggunakan jargon bahasa Turki kalau mahu, tetapi ya, saya bukan orang politik.

Oleh kerana bahasa politik adalah menghimpun kekuasaan maka di Indonesia, sempena majlis memperingati 100 tahun Hamka saya boleh berkata begini, “Buku Buya Hamka, Tafsir Al Azhar menemani saya selama dua kali di penjara”.

Kemudian kerana saya lebih sastera daripada seluruh orang sastera di dunia ini saya akan berpesan pula dengan penuh kekudusan “Sastra itu baik, dan harus dimulai dari kecil.”

Hebat bukan cara saya memuja ulama besar Indonesia, Profesor Haji Abdul Malik Karim Amrullah alias Buya Hamka? (sila lihat TEMPO Interaktif Rabu, 09 April 2008). Saya beri saudara apa yang saudara mahu, saudara mahu Islam dan ulama? Saya beri. Dengan jargon hebat yang melongokan. Disuntik sedikit emosi: arghhh hari-hari lampau yang menyedihkan itu...

Jua oleh kerana bahasa politik ialah menggunakan kekuasaan, saya akan berkata begini pula di khalayak yang lain, katakanlah di Australia: “I see Shakespeare as a major figure of international and humanitarian dimension. In the solitude of my prison cell clearly Shakespeare appeared to me as a brilliant genius of all times and for all cultures. I am in debt to Shakespeare in that sense because I was able to fly away from that small constraint of those four walls during incarceration to become this major spectator of this classic work of that great genius.”

Begitu lah bunyi 'keynote di VIII World Shakespeare Congress' (Rujuk The VIII World Shakespeare Congress, Brisbane City Hall, July 16-21 2006)

Suka bukan? Kerana saudara mahu Barat, saya beri saudara seorang tokoh jenius Barat. Dan untuk lebih membikin hati sayu, saya suntik sedikit kesyahduan untuk membangkitkan keterharuan.

Latar sama. Tapi tema lain-lain. Bergantung apa yang saudara mahu dengar.

Begitulah bahasa yang saya gunakan. Orang akan terpana. Begitu bahasa politik. Untuk khalayak berbeza saya akan 'temberang' beza.

Bahasa politik beginilah yang akan memperdayakan PAS untuk mula-mula mempertahankan babi, akhirnya ya siapa tahu mungkin Salman Rushdie, opsss silap...Lina Joy. Bagaimana?

Bahasa politik. Ia adalah permainan politik. Lebih pragmatik bahasa itu, lebih indah karya seni itu. Dan lebih memukau pembaca. Lebih mempersona penganalisis. Rakyat? Damn you rakyat.

Apa yang telah berlaku selepas PRU 12? Penghargaan.

Begini, untuk memberi penghargaan dan ucapan terima kasih, kita mesti mendahulukan yang telah 'memberi', yakni yang telah meletakkan kita di 'tempat kekuasaan' (walaupun kata Fran, sekadar di pinggiran). Pengundi, dan 'big boss' yang 'memberi' ini harus diberi hadiah.

Perak telah beri. Pulau Pinang telah beri. Kemudian giliran Selangor.

Saya tidak kata salah hal ladang babi itu. Tidak salah, tambah-tambah kalau betul caranya. Pengikut Theresa Kok makan babi tiga ekor dalam kenduri kemenangan mereka pun saya tak marah. Makanlah. Makan sampai tercekik dan senak pun saya tak larang. Siapa pula marah. Siapalah saya. Harakah dan Timbalan Presiden PAS pun sokong ladang babi. Sampai sanggup pekak telinga rungutan dan rasa marah jijik PAS kawasan Sepang. Bukan begitu Dr Halimah? Tak akan tak ada muslimat Sepang bisik-bisik? Bohonglah kalau tak ada.

Oleh kerana kita bersungguh-sungguh mahu 'mendahulukan' kepentingan mereka, kita telah mengajar mereka ini mua. Tahu mua? Buka kamus. Lagipun blog ini temanya 'sastera'.

Kemudian setelah babi, beri betis hendak paha tentunya. Akan ada permintaan lain. Itu ini. Atas nama hak asasi maka akan masuk gereja untuk memberitahu, ya ini hak asasi. Kita pun mahukan kesamarataan. Mahu guna perkataan Allah di gereja? Sila...lagipun ini sekadar bahasa. Kebetulan kata Tuhan dalam bahasa Arab itu Allah.

Tak salah masuk gereja. Siapa kata salah. Sebelum think tank PAS masuk gereja saya dah terlebih dahulu masuk. Di Jerman dulu saya masuk gereja. Bukan gereja biasa tapi gereja Dr Luther. Saya mahu memahami pertelingkahan Protestan dan Katholik. Saya keluar masuk gereja di Munster. Kemudian, saya tulis Tuhan Manusia. Saya beritahu pembaca yang Protestan mula-mula moderat, atau liberalis kemudian jadi esktrimis. George Bush itu Protestan. Paul Wolfowitz sang neo-con Protestan ke? Saya tak pasti. Boleh tanya Timbalan Presiden PAS, dia dokong ladang babi Sepang. Mungkin dia akan dokong juga Wolfowitz dengan agenda ekonomi US supremacy. Kenapa? Sebab itu bahasa politik si 'dia'. Jaga hati ketua, beri wala' kepada sang strategis yang memungkinkan semua ini, bukankah afdhal?

Kita utamakan kepentingan mereka dahulu. Kepentingan orang Islam? Ala, kemudianlah. Macam-macam alasan diberi. Maka PAS pun terperangkap. Kasihan Halimah Ali, masuk PAS lalu jadi exco, lalu jadi pembela babi. Tentu dia tak dapat tidur malam.

PAS terperangkap dalam jerat hak asasi, kesemarataan, atau hadiah pemberian. Rai dan rai dan rai segala keraian. Jangan bimbang, atas nama menjaga kesemarataan, atas nama harapan baru, dan berkebajikan maka mungkin Lina Joy yang lain pun kita dapat raikan. Lina Joy yang hari tu dah end of the story. Tambah-tambah alasan hak asasi itu akan jadi lebih berkesan dan munasabah kalau 'si pengguna jargon politik' datang dan temberang, PAS pun malu alah. PAS pun segan. Maklum, dapat kuasa sedikit-sedikit ini pun kerana pakatan sama-sama.

Bahasa politik. Celaka. Sungguh celaka bahasa politik ini tuan-tuan. Dengan bahasa politik kelak, tuan-tuan akan mengkhianati kata hati tuan-tuan (meski tuan-tuan tahu kebenaran entri saya ini) dengan alasan seperti; satu - 'ala ft cuma novelis, dia bukan tahu apa' atau dua - 'ala budak tu pelik, dia asyik kata nak ikut ahlul bait' atau macam-macam lagi bentuk diskredit lain. Bahasa politik sentiasa celaka. Teman saya seorang pomen kereta kata, 'bahasa politik itu babi'. Bezanya pada kata-kata sahaja. Macam beza bahasa politik untuk Majlis Silaturahim Antara Agama (IRGC) dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak sebelum ini.

Saya janji akan selalu bangun malam dan maki hamun bahasa politik yang merebut kekuatan Islam ini dalam doa. Jangan perlekehkan doa saya. Tak percaya tanya 'lima orang ulama' itu. Mereka lebih arif, itu pun kalau mereka tak tahu malu. Kita semua tahu ke mana arah tujuan semua ini. Tak akan berhenti setakat babi. Kesamarataan ini yang Ali Taqi lawan dalam Tuhan Manusia, tetapi PAS akan menobatkan apa yang Ali Taqi lawan. Ali Taqi putus asa? Tidak.

PAS sudah kalah. Dengan melihat bahasa politik iaitu menghimpun kekuasaan dan menggunakan kekuasaan, PAS sudah tidak boleh diharap dengan FASAL 5 nya lagi. Saya pun tidak harap lagi. Meski sejak tahun 87 dulu (seperti syarat parti yakni sebaik sahaja baligh) saya tertarik dengan FASAL 5 itu. Hari ini, tahun 2008 saya tahu FASAL 5 itu hiasan sahaja. FASAL 5 sudah terkorban. Pembetulan: FASAL 5 sudah dikorban.

Kenapa sampai orang PAS kena tipu dengan bahasa politik yang cakap lain sana cakap lain sini? Satu, silibus usrah PAS sudah ketinggalan zaman. Dua, PAS memang sudah tinggalkan usrah. Boleh tanya berapa kerat cawangan yang ada usrah. Tiga, orang PAS tidak peduli falsafah. Macam post-moden, bahasa politik cakap sana lain, cakap sini lain itu ialah bahasa politik post-moden. Orang PAS yang tidak mahu berfikiran global dan asyik mencari massa secara sentimen semata-mata tak dapat menanggapi sepak terajang ala post-moden. Jadi, masuk perangkap semuanya. Dengan tok-tok guru sekali.

Memang jijik bahasa politik ini. Macam Presiden PAS, dua kali sudah saya dengar beliau mengajak ahli-ahli parlimen BN masuk Pakatan Rakyat. Katanya, mereka yang akan jadi katak lompat ini tidak akan dibayar. Fuhh, sudah pandai bahasa politik Machiavelli rupanya. Lompat parti samada berbayar atau tidak berbayar adalah keji, adalah satu korupsi. Ia salah. Yang bermaruah, beretika dan tidak keji ialah letak jawatan dan bertanding sekali lagi. Baru jantan. Aneh, ada ulama mengulang bahasa politik begini. Sudah macam watak Azman dalam drama saya, MISI. Disuruh jalan itik, dia jalan itik, disuruh menyalak, dia pun menyalak. Engku Daffa menunggang Subra, Mary dan Azman. Begitulah semuanya kena tunggang, oleh bahasa politik. Sudahnya Azman yang ingin merawat, jadi korup juga. Jadi penjenayah. Ah persis!

Siapa mengajar? Tolong jawab, siapa ajar tok guru kita jadi korup begini? Pak Syeikh mana? Abuya mana?

Mengapa orang PAS sokong korupsi ini? Ini korupsi moral dalam berpolitik. Sungguh jengkel!

Jangan bersedih. Masih ada harapan.

Saya menunggu lebih 500 orang pembeli Tuhan Manusia di Pesta Buku minggu lalu. Saya menunggu pembaca Tuhan Manusia edisi lalu. Lebih tiga ribu naskah terjual. Campur-campur, ada dalam empat ribu orang. Terima kasih. Saya tak perlu banyak. Dapat 12 orang pun jadi. Kalau lebih, bagus lagi. Mereka ini faham Ali Taqi. Mereka faham bahasa pluralisme yang digunakan oleh liberalis. Faham bahasa politik yang bak kata Ziana Zain penuh madah berhelah. Bahasa di mana di depan khalayak suka Islam adalah bahasa Hamka, dan bila bahasa depan khalayak khayal Barat adalah Shakespeare.

Yang saya tidak sangka ialah PAS membiarkan dirinya ditunggangi ke tahap ini. Membiarkan diri ditunggang atau diperbodohkan sepertinya siaran ulangan yang menimpa Masjumi, Jabhah Islam lil Inqas, Ikhwanul Muslimin dan Jamaat Islami (di mana semua gerakan Islam ini berjuang, berjuang, berjuang tetapi last-last kemenangan mereka kena 'curi'). Orang mukmin konon tak akan masuk dalam lubang yang sama dua kali. Kasihan orang PAS sudah lupa ini semua. Kerana kurangnya bahasa usrah dan tarbiyyah sejak bahasa politik mengambil tempat. Tahniahlah. Kalau tuan-tuan dalam state of denial, tuan-tuan akan buat alasan untuk menolak kebenaran dalam entri ini. Alasan seperti, ala FT tu ikut sekian-sekian. Apa teguran saya sedikit pun tak mahu difikirkan. Sebab? Kepentingan diri. Apa lagi? Kalau nak kata kepentingan Islam, tunjuk mana Islamnya ajak lompat parti?

PAS sudah kalah dan terkehel dari jalan FASAL 5 tak apa. Nak harap ada pimpinan PAS yang berani melakukan 'syahid politik' menentang arus belum tentu. Tak apalah. Saya tahu kumpulan Ali Taqi ini akan melawan, tambah-tambah melihatkan PAS sudah kalah begini, atau mengalah begitu. Seperti Ali Taqi, protagonis Tuhan Manusia mereka akan matang cepat.

Saudara yang bijak menggunakan jargon politik, saudara ingat saya seorang?

SAUDARA, PAK SYEIKH, BIG BOSS, BRO...apa sahaja gelarnya, SAUDARA SILAP. KAMI TAK AKAN BERI SAUDARA JALAN MUDAH.

Wednesday, March 12, 2008

Antara Kuasa, Kemenangan dan Perjuangan

Alahamdulillah kita menang di Kedah dan mengekalkan Kelantan dengan cemerlang. Adalah tugas dan tanggungjawab kita untuk melaksanakan segala janji-janji manifesto dan perjuangan yang telah kita tanamkan bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga ahli-ahli jamaah.

Namun di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, kita hanyalah parti minoriti yang sedang diperhatikan oleh orang Islam, terutamanya orang Melayu. Apakah demi kuasa dan kedudukan kita akan mengorbankan kepentingan orang melayu dan orang Islam?

Sebagai orang Melayu yang percaya Pas adalah alternatif kepada UMNO, saya tidak mahu melihat hak-hak kepentingan dan kedudukan kuasa politik Melayu di negeri-negeri ini terutamanya di Selangor dan Perak akan dijadikan bahan ejekan.

Apa relevannya Pas mencalonkan diri untuk Menjadi Menteri Besar di Perak sedangkan kita hanya menang 7 kerusi DUN berbanding DAP 18 kerusi? Apakah kita mahu menjadi Menteri Besar boneka kepada DAP?

Memang benar kita menyampah dan benci dengan UMNO, tetapi apakah rasional kita sebagai orang Islam lebih sanggup mengadakan perjanjian dengan DAP yang terang-terangan menentang kedudukan istimewa Islam di Malaysia?

Apakah kita lebih sanggup bekerjasama dengan DAP sehingga memberi jawatan Timbalan Menteri Besar kepada DAP di Selangor?

Ramai pengundi Pas yang mengundi parti ini atas kepercayaan perjuangan dan kedudukan orang Islam lebih penting daripada kuasa, apatah lagi berkompromi dengan DAP. Sedangkan dalam kempen-kempen kita, kita menyatakan kepada pengundi bahawa tiada kerjasama dengan DAP. Di mana maruah dan air muka kita bila berhadapan dengan orang Melayu nanti?

Kita adalah parti minoriti di Selangor dan Perak. Terima hakikat tersebut dan jangan sekali-kali gadaikan kedudukan orang Melayu dan Islam di kedua negeri ini hanya untuk kuasa.

Jangan sampai tercatat dalam sejarah bahawa Pas lah yang bertanggungjawab meruntuhkan status quo orang Islam dan Melayu di kedua-dua negeri ini.

Tuesday, February 19, 2008

PRU KE 12 – HARAPAN ATAU KHAYALAN BAGI PAS

CHOKCAPBOYO

Lidah yang tidak bertulang boleh menuturkan apa sahaja selagi tidak diserang strok atau selagi nyawa tidak sampai ke halkum. Gara-gara menghantar SMS kepada seorang pemimpin Pas supaya beliau mengingatkan Presiden Pas agar mengukur serban di kepala sendrii , dapatlah penulis mengenali karektor orang yang tidak pernah penulis kenali itu.

Barangkali agak kasar apabila penulis mengatakan kenyataan Presiden Pas di Kuantan yang mahu menawan dua negeri adalah kenyataan orang gila tetapi tidak kasarkah beliau yang menjawab "hanya orang gila mengenali orang gila" Apabila membaca SMS tersebut teringatkan penulis kepada ramai doktor-doktor di dalam Pas yang merawat orang gila , barangkali doktor-doktor tersebut yang mungkin pernah menjadi calon Pas juga terdiri daripada orang gila. Dan benarlah pilihan pengundi apabila menolak calon gila Pas tersebut.

Penulis tidaklah selalu mengunjungi blog orang kuat Pas tersebut dan tidak sama sekali menyangka panggilan bertalu-talu dan sms bertalu-talu datang setelah pemimpin Pas tersebut memasukkan nombor telefon penulis didalam blog beliau. Ada panggilan yang memuji dan ada panggilan yang memaki. Biasalah kita tidak boleh memaksa orang untuk bersetuju atau memaksa orang untuk tidak bersetuju dengan pendapat kita. Tetapi beliau telah meletakkan penulis berada di peringkat yang besar jugalah apabila panggilan datang dari seluruh negara dan ada yang tidak sempat penulis layan kerana kesibukan dengan tugas harian dan ada yang memanggil sewaktu mahu mengadap Tuhan.

Tidaklah penulis berniat untuk menyalin semula sms sms beliau kepda penulis walaupun beliau hanya menyalin sms penulis kepada beliau di blog beliau itu. Kita dapat nampak neraca keadilan mana yang digunakan oleh beliau ketika hanya memasukkan sms penulis kepada beliau dan bukannya juga sms beliau kepada penulis di dalam blog tersebut. Berbalas—balas sms adalah perkara biasa dan jika di mahkamah peguam dan pendakwa akan berbalas-bals hujjah. Sekiranya pihak media hanya menyiarkan hujah sebelah pihak nyatalah bahawa media tersebut tidak berlaku adil dan mengharapkan simpati orang ramai untuk menyokong sebelah pihak dengan hujah sebelah pihak.

Apa pun penulis tidak berhajat untuk memanjangkan isu sms sms tersebut yang agak kasar bagi pandangan penulis dan tidak layak disiarkan untuk dibaca oleh semua pihak kerana yang membaca tulisan ini ada orang UMNO dan ada orang Pas. Jika mahu juga membaca sms tersebut sila dapatkan data daripada pengendali rangkaian komunikasi sebagaimana ada penghantar sms yang berjaya mengesan penulis dan memaklumkan kepada orang lain pula siapa penulis.

Sebelum berangkat kepada apa yang sebenarnya hendak disampaikan kepada Presiden Pas penulis mengucapkan ribuan terima kasih yang sudi menelefon dan menghantar sms. Kepada orang Pas kebanyakannya bersetuju dengan hujah penulis bahawa tahap kepimpinan yang ada pada hari ini sangatlah rendah dan kepada orang UMNO mereka tergaman kerana diberitahu "Saya tetap akan undi Pas InshAllah selagi undi kepada Pas itu menguntungkan agama Allah" bersama-sama hujah-hujahnya.

Ada dua isu yang timbul yang menyenakkan perut penulis. Pertama isu negara kebajikan yang diutarakan oleh Presiden dan keduanya isu tawan dua negeri. Isu kebajikan bagi penulis adalah isu ukur serban di kepala sendiri kerana bukan sedikit rakyat Kelantan yang sedang menderita dan tidak mendapat layanan sepatutnya. Kebajikan apanya jika bayaran letak kereta di Kota Bharu mengatasi bayaran letak kereta di bandar-bandar lain. Kebajikan apanya jika masih ramai rakyat yang miskin di kelantan dan merempat di tanah air sendiri walaupun sudah tujuh belas tahun Pas memerintah kelantan. Kebajikan gila babi apanya jika kemewahan wakil rakyat mengatasi kemewahan rakyat.

Negara kebajikan hanya boleh berlaku sekiranya wakil-wakil rakyat Pas meniru Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan Umar Al Khattab. Penulis tidak mahu menelanjangbogelkan Pas di sini. Cukuplah jika tuan/puan membaca dan memahami ayat Alquran surah Al Baqarah ayat 177 dan membandingkan dengan apa yang berlaku di Kelantan.

Yang keduanya isu tawan dua negeri … Ini kenyataan yang datang dari orang gila bagi penulis. Pertamanya ialah kerana Pas itu bermakna Parti Islam SeMalaysia ertinya Pas didaftarkan untuk bergerak di seluruh Malaysia maka sewajarnya Presiden Pas bercakap Pas akan berusaha menawan satu Malaysia. Pas bukan singakatan kepada Parti Islam Kelantan Terengganu Kedah tetapi bermakna Parti Islam Se Malaysia.

Yang keduanya apabila Presiden memahami Pas adalah parti bagi rakyat Malaysia usaha dan kerja hendaklah bertaraf Malaysia. Tentulah amalan biasanya Presiden parti akan menjadi Perdana Menteri maka apakah Presiden Pas telah berusaha memperkenalkan dirinya sebagai manusia yang mempunyai kotokohan dan karisme untuk menjdi Perdana Menteri Malaysia.

Oleh sebab itulah penulis amat tidak bersetuju apa bila pemimpin Pas suka bergayut di batu pelir orang lain untuk menang. Dahulu bergayut di batu pelir Kuli dan sekarang bergayut di batu pelir Anwar Ibrahim.

Apakah pemimpin Pas tidak ada batu pelir sendiri untuk bekerja menawan Malaysia. Penulis berulangkali mengingatkan pemimpin Pas dan Harakah agar memprojekkan imej Pas sebagai parti bertaraf nasional dan pemimpin Pas adalah pemimpin bertaraf Nasional. Usaha Almarhum Ustaz Fadzil Noor untuk menjadi pemimpin bertaraf nasional dan layak digelar negarawan tidak diteruskan oleh pengganti beliau.

Kenapa penulis berkata demikian? Pertamanya beliau tidak pantas mengeluarkan komen kepada isu-isu nasional jika ada komen pun komen tersebut tidak menguntungkan Pas seperti Kes Al Maunah di Bukit Jenalik yang dikatakannya sandiwara. Begitu juga isu Perdana Menteri tidak menjadi imam solat jenazah bondanya juga menampakkan kedangkalan beliau dalam memberi komen dan merugikan Pas.

Sepatutnya pemimpin Pas disemua peringkat sentiasa peka dengan pelbagai isu dan cepat-cepat mengeluarkan kenyataan supaya Pas dikenali oleh masyarakat di seluruh Malaysia. Sekiranya ada kematian tokoh-tokoh negara pemimpin tertinggi Pas sepatutnya cepat-cepat mengeluarkan ucapan takziah dan menziarahi. Jika ada pembesar negara atau public figure termasuk artis masuk hospital sepatutnya pemimpin tertinggi Pas akan cepat-cepat menziarahi. Itulah kebajikannya, kebajikan yang tidak memerlukan modal besar. Pemimpin Pas wajar belajar dengan ADUN Perupok Haji Omar Mohamad sebelum 1990 yang begitu aktif dan akan ke hospital sebaik sahaja mendapat maklum ada rakyat yang sakit dan dimasukkan ke hospital. Rakyat bukannya mahu duit pemimpin Pas tetapi penyakit mereka akan reda sekiranya dapat melihat wajah pemimpin Pas InshaAllah.

Itu sahaja yang penulis minta walaupun ramai yang menghantar sms meminta penulis sendiri memberi respon kepada isu di dalam negara. Penulis katakan saya bukanlah orang yang menawarkan diri untuk menjadi Presiden dan AJK Pas Pusat, mereka yang menawarkan diri dan menang itulah lah yang sepatutnya tahu apa tujuan mereka dipilih dan apa kerja mereka selepas dipilih.

Keduanya penulis mengatakan begitu ialah usaha untuk menawan Malaysia tidak dilaksanakan secara serius. Penulis dan penganalisis politik negara dapat melihat Pas berangan-angan setiap kali pilihanraya berdasarkan kelemahan parti lawan bukan nya atas usaha sendiri. Sebab itulah Pas 'jilat chok' didalam pilihanraya umum ke 11 kerana imej BN berada di tahap tertinggi waktu itu.

Pas berangan-angan sepertimana pelajar sekolah yang berangan-angan mahu mendapat 5A dalam UPSR sedangkan pelajar tersebut tidur didalam kelas, melawan guru, ponteng kelas, tidak membuat ulang kaji, tidak membawa buku ke sekolah. Adakah mungkin pelajar tersebut mendapat 5A didalam UPSR? Belum ada sejarah tercatat pelajar sedemikian mendapat 5A. Begitulah dengan pemimpin Pas yang berangan menawan negeri itu negeri ini tetapi malas bekerja, malas mendekati pengundi dan malas memperkenalkan diri sebagai pemimpin parti.

Penulis sempat menasihatkan penghantar sms kepada penulis agar pergi berguru dengan Ustaz Yahya Othman, Ustaz Halim Abdul Rahman, Cikgu Wan Rahim dan ramai lagi tokoh Pas Kelantan yang menjadi arkitek mengembalikan Kelantan ke tangan Pas selepas kalah pada tahun 1978.



Penulis juga sudah memberitahu kepada beberapa orang pemimpin Pas beberapa tahun dahulu supaya memaklumkan kepada Presiden Pas agar melakukan lawatan kerja ke setiap Kawasan Parlimen di seluruh negara setiap minggu bagi mengenali petugas Pas dan beramah mesra dengan pengundi. Pemimpin Pas perlu mendekti kakitangan awam. Mereka perlu menemui KSN, KSU-KSU, IGP dan tokoh-tokoh besar negara bagi menjalin hubungan sosial dan dakwah . Kaedah berceramah 2-3 tahun sekali sudah lapok kerana rakyat mahu mengenali siapa bakal Perdana Menteri di kalangan orang Pas, kacakkah dia, bijak kah dia dalam bergaul dengan masyarakat, tidak sombongkah dia. Cerdikkah kenyataan-kenyataan dia.

Begitu juga dengan pemimpin peringkat negeri apakah mereka telah menjalin hubungan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai-Pegawai Daerah, YDP pihak berkuasa tempatan sekurang-kurangnya dengan mengadakan lawatan hormat.

Itu yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Pas jika mahu menang bukan sibuk mengadakan rombongan jelajah seperti pembesar yang sudah menang melawat negeri-negeri jajahan takluknya. Allah memberi sekadar mana kita berusaha bukan sekadar mana kita berangan-angan.

Sekadar peringatan saya petik apa yang dinyatakan oleh Petugas Pas Pahang di dalam Pilihanraya kecil Pengkalan Pasir di laman web www.malaysia-today.net/Blog-s/2005/12/pengkalan -pasir-kebenaran-atau.htm

"Kelihatan Timbalan Presiden Pas hanya turun padang bersama pemimpin Pas sahaja dan hanya pergi "menjenguk" bilik-bilik gerakan tanpa bertanya khabar petugas-petugas parti amnya."

"Betapa sedihnya hati kami para petugas apabila kami sanggup bertemankan nyamuk dan unggas semasa tidur malam tetapi para pimpinan dengan selesa penghawa dngin di Hotel Perdana. Berstatus ulama elit, Ustaz Nasarudin Mat Isa selaku Timbalan Presiden bersama kuncu-kuncunya Dato' Hassan Ali, Dato Mustapa Ali. Asmuni Awi dan ramai lagi para pemimpin bertaraf elit ini yang memilih hotel sebagai singgahsana sementara mereka. Di masa ahli sedang berjuang mati-matian ingin mempertahankan kerajaan Islam Kelantan, para pimpinan seperti Dr Hatta Ramli, Dr Syed Azman daan Dr Zulkifli Ahmad boleh minum pagi di Dining Room JKR 10 setelah nyenyak tidur di sana.

Disaat ahli mengorbankan masa dan wang ringgit, kerajaan Kelantan sudi menghabiskan sejumlah wang untuk mengabui mata pimpinan Pas dengan hotel dan makan minum mewah".

Atas fenomena yang ada saya membuat kesimpulan pada saat tulisan ini dizahirkan saya berkeyakinan Pas akan kehilangan Kelantan, gagal menawan Terengganu dan kekal sebagai pembangkang di Kedah. Ulangilah 100 kali pilihanraya pun keputusan tetap sama selagi pemimpin Pas enggan berubah , selagi pemimpin Pas emosional apabila dihentam. Sekiranya kita hanya membaca Harakah dan Siasah atau blog-blog pemimpin pembangkang seolah-olah Pas akan menang mudah dan BN sudah tersungkur membaham tanah dengan 1001 isu. Namum hakikatnya tidak begitu jika dilihat pada pilihanraya yang lalu.

Usah bermimpi rakyat akan mengundi Pas semata-mata kerana melihat kepimpinan Pak Lah lemah atau zalim. Selepas Ibrahim Libya di bunuh dengan kejam pada 19 November 1985 pemimpin Pas mengharapkan isu tersebut menumbangkan kerajaan BN tetapi rakyat tetap mengundi BN dan Pas hanya menang hanya di Parlimen Pengkalan Chepa sahaja.

Usah bercakap soal kebajikan jika pemimpin Pas meletakkan dirinya terlalu jauh dengan petugas parti apalagi dengan rakyat. Usah bercakap soal menang jika hanya mengharap kelemahan orang. Pas hanya akan di undi apabila diyakini pemimpin Pas lebih mendekati rakyat dan lebih cerdik apabila bercakap .

Untuk makluman saya tidak berniat sama sekali untuk merendah-rendah atau menghina Presiden Pas. Saya pernah menaiki bas berhenti-henti dengan jarak beratus batu untuk mendengar kuliah beliau dn solah subuh dengan beliau. Kejadian ini berlaku sekitar pertengahan tahun 1980an. Saya juga sedang menghabiskan bacaan buku beliau "Fahaman dan Idealogi Umat Islam" yang dibeli pada 12 Januari lalu di Kedai buku Popular. Terasa bangga juga apabila buku pemimpin Pas dapat dijual di kedai buku besar seperti Popular. Saya juga pernah menyalin semula berbelas khutbah beliau sekitar tahun 1980an dan ianya masih tersimpan dalam bentuk manuskrip.

Sekiranya ada yang tersentuh hati dengan tulisan saya ampun maaf dipinta semoga kita semua dapat berdiri di hadapan Ilahi di Padang Mahsyar dengan lutut yang keras dan hati yang tenteram.Wallahuaklam.

- Anis Idayu

Negara Berkebajikan, pendekatannya harus menyeluruh

Oleh Mia

Kebajikan ialah kebaikan. Istilah barat ‘negara kebajikan’ ialah 'welfare state'. Dalam 'welfare state' setiap warga berpeluang untuk mendapat sekurang-kurangnya semua keperluan asas yang harus disediakan pemerintah jika mereka perlukan.

Secara umum, tanpa memperincikan spektra kelainan masing-masing, dalam sistem sekular, negara kebajikan diamalkan oleh negara-negara komunis dan sosialis, sama ada mereka demokratis atau tidak demokratis. Dalam kalangan negara Islam, barangkali Iraq-Parti Baath dan Libya-Ghadafi mungkin boleh dianggap sebagai dua negara pengamal 'welfare state' meskipun hal kebajikannya tidaklah menyeluruh!

Dalam hal ini, di mana letaknya negara kebajikan Islamiah? Kalau diteliti sejarahnya, Islam sendiri sebenarnya bercambah, tumbuh dan subur atas wawasan kebajikan! Memang tepat sekali jika PAS benar-benar mahu kembali merperjuangkan – 'negara kebajikan'. Itulah yang saharusnya PAS istiqamahkan sejak dahulu lagi sebagai parti politik.

Namun, pendekatan PAS kepada ‘kebajikan’ harus holistik (menyeluruh) supaya pengertian kebajikan itu menepati erti dan tuntutan Islah Islamiah – gerakan membawa kebajikan yang ada kesinambungan daripada rahmat Allah s.w.t di dunia ini. Negara berkebajikan adalah rentetan daripada perjuangan nabi-nabi juga.

Orang-orang berkebajikan, yang cinta dan beramal untuk kebajikan, ialah orang soleh dan solehah. Jadi, bagaimana harus negara kebajikan Islamiah itu ditegakkan? Secara logik mudah, kita memahami bahawa tiada Negara Berkebajikan akan lahir daripada pemimpin, warga dan sistem berkerajaan yang bukannya bermatlamatkan kebajikan.

Tidak hairanlah kalau keutamaan dalam pendidikan Islam ialah melahirkan ummah soleh dan solehah! Itu jugalah impian semua ibu-bapa muslim-mukmin, iaitu anak-anak yang soleh. Namun, dalam sejarah ditemukan juga kisah anak nabi seperti anak Nabi Nuh a.s yang tidak soleh, dan hal Nabi Musa a.s yang soleh dibesarkan dalam istana Fir'aun yang zalim.

Negara Kebajikan ala Komunisme, Sosialisme gagal

Gagalnya negara kebajikan ala Komunisme dan Sosialisme adalah kerana sistem amalan mereka gagal melahirkan umat dan pemimpin soleh yang cintakan kebajikan. Ini kerana, sistem mereka berasaskan materialisme hanya menumpukan kepada kebendaan semata-mata.

Jadi, mereka hanya mendorong manusia kepada syahwat dan harta benda kerana rasa kasih harta itu adalah sebahagian dari fitrah kecintaan manusia! Pengislahan atau pembaikan mereka tidaklah menyeluruh.

Ringkasnya, negara kebajikan Islamiah itu wajiblah berdiri di atas atau berparadigmakan sistem yang menyuburkan islah, kebajikan menyeluruh, dipimpin oleh orang-orang yang soleh. Pemimpin berkebajikan diwargai oleh orang-orang soleh - umat berkebajikan. Jadi, apakah ada selain daripada daulah Islamiah yang tertegak dan berjalan atas syariat Allah s.w.t dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang telah mewadahi negara kebajikan syumul?

Ia bukanlah sistem yang membebankan kerajaan dan tidak juga membebankan rakyat. Malah, ia amat pragmatik dan penuh keprihatinan mengenai manusia dan kemanusiaan. Dan, sikap mereka itu menepati tuntutan dan keperluan fitrah umat manusia!

Sekarang, apakah akan muflis sebuah negara kebajikan? Dalam mana pemimpin dan warganya berduyun-duyun berusaha dan berebut untuk berbuat kebajikan? Kebajikan warga dan alam mereka akan bersama-sama diuruskan dan dijaga dengan ikhlas dan redha dalam mengharapkan keredhaan Yang Maha Esa.

Bukankah di sana setiap rakyat bersedia dan ikhlas bekerja keras untuk menyumbang ke arah menegakkan kebajikan? Dalam pengertian sempit sekular, istilah kebajikan tentulah berlegar sekitar soal kebendaan sahaja. Tetapi, pengertian kebajikan islah ialah kebajikan yang meliputi seluruh aspek kesejahteran kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Tuesday, January 29, 2008

Strategi pilihan raya PAS perlu diperkemas

Abdul Razak Abdul Wahab

Telah berpuluh tahun kita mengharungi pilihan raya dan secara keseluruhannya kita tidak pernah menang. Walaupun pencapaian meningkat, namun kemenangannya tidak lebih kerana kelemahan pihak lawan (Misalnya, perpecahan Umno pada tahun 1990 dan 1999).

Dan yang 'maha' aneh, kita tidak pernah mengambil iktibar tentang kelemahannya. Kita masih lagi mengamal sikap, strategi, teknik dan taktik yang sama. Maka, tidak hairanlah jika hasilnya tetap sama (kalah).

Terlalu banyak aspek kelemahan kita yang saya fikir tidak tertulis semuanya. Memadailah di sini dikemukakan dua strategi saja. Pertama, penggunaan bendera Malaysia sebagai gantian kepada bendera PAS. Keduanya, penampalan atau penyebaran risalah ringkas bagi menggantikan poster 'Undilah PAS'.

Haruslah kita ingat bahawa yang menggerakkan tangan untuk memangkah sesuatu parti adalah akal. Akal manusia sama ada ia dikawal oleh pemikirannya yang kritis, atau emosi yang berasaskan kepada pengamatan fikiran yang dangkal.

Mulakan dengan bendera Malaysia

Lihatlah penggunaan bendera Malaysia. Biasanya, pengibaran bendera Malaysia itu melambangkan sikap patriotik pihak yang mengibarnya. Sebahagian besar rakyat Malaysia (kaum Melayu penyokong Umno) adalah kurang pendidikan, terutamanya yang menganggap pembangkang sebagai pihak 'pemberontak' dan tidak setia kepada negara.

Malah, mereka ini tidak dapat membezakan antara kerajaan dan parti BN. Propaganda bahawa pembangkang adalah musuh negara dimainkan dengan pelbagai cara oleh pihak BN. Antaranya, pembangkang kononnya menjemput campur tangan asing, pembangkang mencetus huru-hara dan sebagainya.

Cara mudah dan berkesan untuk menangani isu ini, PAS mestilah bertindak mengibarkan bendera Malaysia di samping bendera PAS. Kita mesti menggalakkan ahli-ahli PAS mengibarkan bendera Malaysia sebagai bukti sikap patriotik, simbol kemerdekaan daripada penjajahan BN selama 50 tahun.

Maka, mungkin slogan seperti "Selamatkan Malaysia" dan "Merdekakan Malaysia daripada penjajahan BN" juga adalah sesuai. Penggunaan warna hijau, bulan PAS secara keterlaluan akan hanya menjauhkan rakyat daripada mendekati PAS.

Seringkali pada majlis-majlis, penggunaan bendera bulan PAS diguna secara keterlaluan. Hatta di pentas-pentas dan di 'podium' sekali pun dibungkus dengan bendera PAS sehingga menjadi serba hijau.

Dari segi kejiwaam, hal ini mungkin menaikkan semangat ahli-ahli parti. Tetapi, ia juga akan 'menghalau' rakyat dari mendekati PAS, kerana ia seolah-olahnya menunjukkan sikap keras dan fanatik PAS. PAS mestilah kelihatan lembut dan terbuka kepada semua rakyat.

Manusia tidak suka kepada keangkuhan

Tiada pihak yang suka kepada keangkuhan. Tiada pihak yang ingin dikalahkan. PAS hanya akan menang jika semua pihak berasa menang jika PAS menang.

Kedua, sekadar penggunaan poster 'Undilah PAS' tidak akan memberi apa-apa kesan ketara kepada kecenderungan pengundi. Sebaliknya, ia mungkin menimbulkan suasana perang fizikal yang cuma membangkitkan semangat tapi tidak mengubah pegangan pengundi.

Oleh itu, adalah dicadangkan agar PAS mencetak secara besar-besaran poster yang memaparkan manifesto, hujah-hujah padat mengapa mesti undi PAS, isu-isu kongkrit bersifat umum, isu-isu panas semasa, skandal, mendidik rakyat memahami demokrasi dan sebagainya.

Poster-poster itu hendaklah ringkas padat (berbentuk butiran dan seperti iklan), tidak perlu buang masa dan kos dengan hiasan yang tidak perlu. Inginlah diingatkan, jangan sekali-kali mengemukakan isu-isu tidak benar yang boleh dipusing balik makan diri.

Bilangan poster seperti ini hendaklah banyak dan ditampal dan diedarkan kepada semua pihak. Pada pemerhatian penulis, pada masa lalu, artikel dan poster ini disimpan di markas-markas PAS dan tidak betul-betul disebarkan kepada orang ramai. Ini suatu pekerjaan yang sia-sia.

HarakahDaily.Net perlu main peranan

Saya syorkan pihak Harakahdaily menjadi tempat penghasilan, pengumpulan, penyuntingan, penapisan dan penyebaran (dibuat secara muat turun) poster itu. Pihak Harakahdaily hendaklah mempersilakan para pembaca menghasilkan poster-poster itu dan bahan itu di'upload' kepada Harakahdaily. Kemudian, pihak Harakahdaily bolehlah menyaring atau menyunting dan menyimpan poster-poster itu di bahagian pangkalan data.

PAS boleh mengguna poster-poster ini untuk dicetak dan disebarkan. Malah, sewajarnya pengunjung Harakahdaily juga boleh 'download' bahan-bahan ini untuk dicetak dan disebarkan. Sudah pasti ini akan membantu PAS. Setakat ini saja cadangan saya. Wassalam.