Wednesday, March 12, 2008

Antara Kuasa, Kemenangan dan Perjuangan

Alahamdulillah kita menang di Kedah dan mengekalkan Kelantan dengan cemerlang. Adalah tugas dan tanggungjawab kita untuk melaksanakan segala janji-janji manifesto dan perjuangan yang telah kita tanamkan bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga ahli-ahli jamaah.

Namun di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, kita hanyalah parti minoriti yang sedang diperhatikan oleh orang Islam, terutamanya orang Melayu. Apakah demi kuasa dan kedudukan kita akan mengorbankan kepentingan orang melayu dan orang Islam?

Sebagai orang Melayu yang percaya Pas adalah alternatif kepada UMNO, saya tidak mahu melihat hak-hak kepentingan dan kedudukan kuasa politik Melayu di negeri-negeri ini terutamanya di Selangor dan Perak akan dijadikan bahan ejekan.

Apa relevannya Pas mencalonkan diri untuk Menjadi Menteri Besar di Perak sedangkan kita hanya menang 7 kerusi DUN berbanding DAP 18 kerusi? Apakah kita mahu menjadi Menteri Besar boneka kepada DAP?

Memang benar kita menyampah dan benci dengan UMNO, tetapi apakah rasional kita sebagai orang Islam lebih sanggup mengadakan perjanjian dengan DAP yang terang-terangan menentang kedudukan istimewa Islam di Malaysia?

Apakah kita lebih sanggup bekerjasama dengan DAP sehingga memberi jawatan Timbalan Menteri Besar kepada DAP di Selangor?

Ramai pengundi Pas yang mengundi parti ini atas kepercayaan perjuangan dan kedudukan orang Islam lebih penting daripada kuasa, apatah lagi berkompromi dengan DAP. Sedangkan dalam kempen-kempen kita, kita menyatakan kepada pengundi bahawa tiada kerjasama dengan DAP. Di mana maruah dan air muka kita bila berhadapan dengan orang Melayu nanti?

Kita adalah parti minoriti di Selangor dan Perak. Terima hakikat tersebut dan jangan sekali-kali gadaikan kedudukan orang Melayu dan Islam di kedua negeri ini hanya untuk kuasa.

Jangan sampai tercatat dalam sejarah bahawa Pas lah yang bertanggungjawab meruntuhkan status quo orang Islam dan Melayu di kedua-dua negeri ini.