Tuesday, February 19, 2008

Negara Berkebajikan, pendekatannya harus menyeluruh

Oleh Mia

Kebajikan ialah kebaikan. Istilah barat ‘negara kebajikan’ ialah 'welfare state'. Dalam 'welfare state' setiap warga berpeluang untuk mendapat sekurang-kurangnya semua keperluan asas yang harus disediakan pemerintah jika mereka perlukan.

Secara umum, tanpa memperincikan spektra kelainan masing-masing, dalam sistem sekular, negara kebajikan diamalkan oleh negara-negara komunis dan sosialis, sama ada mereka demokratis atau tidak demokratis. Dalam kalangan negara Islam, barangkali Iraq-Parti Baath dan Libya-Ghadafi mungkin boleh dianggap sebagai dua negara pengamal 'welfare state' meskipun hal kebajikannya tidaklah menyeluruh!

Dalam hal ini, di mana letaknya negara kebajikan Islamiah? Kalau diteliti sejarahnya, Islam sendiri sebenarnya bercambah, tumbuh dan subur atas wawasan kebajikan! Memang tepat sekali jika PAS benar-benar mahu kembali merperjuangkan – 'negara kebajikan'. Itulah yang saharusnya PAS istiqamahkan sejak dahulu lagi sebagai parti politik.

Namun, pendekatan PAS kepada ‘kebajikan’ harus holistik (menyeluruh) supaya pengertian kebajikan itu menepati erti dan tuntutan Islah Islamiah – gerakan membawa kebajikan yang ada kesinambungan daripada rahmat Allah s.w.t di dunia ini. Negara berkebajikan adalah rentetan daripada perjuangan nabi-nabi juga.

Orang-orang berkebajikan, yang cinta dan beramal untuk kebajikan, ialah orang soleh dan solehah. Jadi, bagaimana harus negara kebajikan Islamiah itu ditegakkan? Secara logik mudah, kita memahami bahawa tiada Negara Berkebajikan akan lahir daripada pemimpin, warga dan sistem berkerajaan yang bukannya bermatlamatkan kebajikan.

Tidak hairanlah kalau keutamaan dalam pendidikan Islam ialah melahirkan ummah soleh dan solehah! Itu jugalah impian semua ibu-bapa muslim-mukmin, iaitu anak-anak yang soleh. Namun, dalam sejarah ditemukan juga kisah anak nabi seperti anak Nabi Nuh a.s yang tidak soleh, dan hal Nabi Musa a.s yang soleh dibesarkan dalam istana Fir'aun yang zalim.

Negara Kebajikan ala Komunisme, Sosialisme gagal

Gagalnya negara kebajikan ala Komunisme dan Sosialisme adalah kerana sistem amalan mereka gagal melahirkan umat dan pemimpin soleh yang cintakan kebajikan. Ini kerana, sistem mereka berasaskan materialisme hanya menumpukan kepada kebendaan semata-mata.

Jadi, mereka hanya mendorong manusia kepada syahwat dan harta benda kerana rasa kasih harta itu adalah sebahagian dari fitrah kecintaan manusia! Pengislahan atau pembaikan mereka tidaklah menyeluruh.

Ringkasnya, negara kebajikan Islamiah itu wajiblah berdiri di atas atau berparadigmakan sistem yang menyuburkan islah, kebajikan menyeluruh, dipimpin oleh orang-orang yang soleh. Pemimpin berkebajikan diwargai oleh orang-orang soleh - umat berkebajikan. Jadi, apakah ada selain daripada daulah Islamiah yang tertegak dan berjalan atas syariat Allah s.w.t dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang telah mewadahi negara kebajikan syumul?

Ia bukanlah sistem yang membebankan kerajaan dan tidak juga membebankan rakyat. Malah, ia amat pragmatik dan penuh keprihatinan mengenai manusia dan kemanusiaan. Dan, sikap mereka itu menepati tuntutan dan keperluan fitrah umat manusia!

Sekarang, apakah akan muflis sebuah negara kebajikan? Dalam mana pemimpin dan warganya berduyun-duyun berusaha dan berebut untuk berbuat kebajikan? Kebajikan warga dan alam mereka akan bersama-sama diuruskan dan dijaga dengan ikhlas dan redha dalam mengharapkan keredhaan Yang Maha Esa.

Bukankah di sana setiap rakyat bersedia dan ikhlas bekerja keras untuk menyumbang ke arah menegakkan kebajikan? Dalam pengertian sempit sekular, istilah kebajikan tentulah berlegar sekitar soal kebendaan sahaja. Tetapi, pengertian kebajikan islah ialah kebajikan yang meliputi seluruh aspek kesejahteran kehidupan duniawi dan ukhrawi.

No comments: