Tuesday, January 29, 2008

Strategi pilihan raya PAS perlu diperkemas

Abdul Razak Abdul Wahab

Telah berpuluh tahun kita mengharungi pilihan raya dan secara keseluruhannya kita tidak pernah menang. Walaupun pencapaian meningkat, namun kemenangannya tidak lebih kerana kelemahan pihak lawan (Misalnya, perpecahan Umno pada tahun 1990 dan 1999).

Dan yang 'maha' aneh, kita tidak pernah mengambil iktibar tentang kelemahannya. Kita masih lagi mengamal sikap, strategi, teknik dan taktik yang sama. Maka, tidak hairanlah jika hasilnya tetap sama (kalah).

Terlalu banyak aspek kelemahan kita yang saya fikir tidak tertulis semuanya. Memadailah di sini dikemukakan dua strategi saja. Pertama, penggunaan bendera Malaysia sebagai gantian kepada bendera PAS. Keduanya, penampalan atau penyebaran risalah ringkas bagi menggantikan poster 'Undilah PAS'.

Haruslah kita ingat bahawa yang menggerakkan tangan untuk memangkah sesuatu parti adalah akal. Akal manusia sama ada ia dikawal oleh pemikirannya yang kritis, atau emosi yang berasaskan kepada pengamatan fikiran yang dangkal.

Mulakan dengan bendera Malaysia

Lihatlah penggunaan bendera Malaysia. Biasanya, pengibaran bendera Malaysia itu melambangkan sikap patriotik pihak yang mengibarnya. Sebahagian besar rakyat Malaysia (kaum Melayu penyokong Umno) adalah kurang pendidikan, terutamanya yang menganggap pembangkang sebagai pihak 'pemberontak' dan tidak setia kepada negara.

Malah, mereka ini tidak dapat membezakan antara kerajaan dan parti BN. Propaganda bahawa pembangkang adalah musuh negara dimainkan dengan pelbagai cara oleh pihak BN. Antaranya, pembangkang kononnya menjemput campur tangan asing, pembangkang mencetus huru-hara dan sebagainya.

Cara mudah dan berkesan untuk menangani isu ini, PAS mestilah bertindak mengibarkan bendera Malaysia di samping bendera PAS. Kita mesti menggalakkan ahli-ahli PAS mengibarkan bendera Malaysia sebagai bukti sikap patriotik, simbol kemerdekaan daripada penjajahan BN selama 50 tahun.

Maka, mungkin slogan seperti "Selamatkan Malaysia" dan "Merdekakan Malaysia daripada penjajahan BN" juga adalah sesuai. Penggunaan warna hijau, bulan PAS secara keterlaluan akan hanya menjauhkan rakyat daripada mendekati PAS.

Seringkali pada majlis-majlis, penggunaan bendera bulan PAS diguna secara keterlaluan. Hatta di pentas-pentas dan di 'podium' sekali pun dibungkus dengan bendera PAS sehingga menjadi serba hijau.

Dari segi kejiwaam, hal ini mungkin menaikkan semangat ahli-ahli parti. Tetapi, ia juga akan 'menghalau' rakyat dari mendekati PAS, kerana ia seolah-olahnya menunjukkan sikap keras dan fanatik PAS. PAS mestilah kelihatan lembut dan terbuka kepada semua rakyat.

Manusia tidak suka kepada keangkuhan

Tiada pihak yang suka kepada keangkuhan. Tiada pihak yang ingin dikalahkan. PAS hanya akan menang jika semua pihak berasa menang jika PAS menang.

Kedua, sekadar penggunaan poster 'Undilah PAS' tidak akan memberi apa-apa kesan ketara kepada kecenderungan pengundi. Sebaliknya, ia mungkin menimbulkan suasana perang fizikal yang cuma membangkitkan semangat tapi tidak mengubah pegangan pengundi.

Oleh itu, adalah dicadangkan agar PAS mencetak secara besar-besaran poster yang memaparkan manifesto, hujah-hujah padat mengapa mesti undi PAS, isu-isu kongkrit bersifat umum, isu-isu panas semasa, skandal, mendidik rakyat memahami demokrasi dan sebagainya.

Poster-poster itu hendaklah ringkas padat (berbentuk butiran dan seperti iklan), tidak perlu buang masa dan kos dengan hiasan yang tidak perlu. Inginlah diingatkan, jangan sekali-kali mengemukakan isu-isu tidak benar yang boleh dipusing balik makan diri.

Bilangan poster seperti ini hendaklah banyak dan ditampal dan diedarkan kepada semua pihak. Pada pemerhatian penulis, pada masa lalu, artikel dan poster ini disimpan di markas-markas PAS dan tidak betul-betul disebarkan kepada orang ramai. Ini suatu pekerjaan yang sia-sia.

HarakahDaily.Net perlu main peranan

Saya syorkan pihak Harakahdaily menjadi tempat penghasilan, pengumpulan, penyuntingan, penapisan dan penyebaran (dibuat secara muat turun) poster itu. Pihak Harakahdaily hendaklah mempersilakan para pembaca menghasilkan poster-poster itu dan bahan itu di'upload' kepada Harakahdaily. Kemudian, pihak Harakahdaily bolehlah menyaring atau menyunting dan menyimpan poster-poster itu di bahagian pangkalan data.

PAS boleh mengguna poster-poster ini untuk dicetak dan disebarkan. Malah, sewajarnya pengunjung Harakahdaily juga boleh 'download' bahan-bahan ini untuk dicetak dan disebarkan. Sudah pasti ini akan membantu PAS. Setakat ini saja cadangan saya. Wassalam.